MACHANG, 29 September- Mahkamah Majistret Machang, Kelantan hari ini, menyambung reman selama tiga hari bermula esok hingga 2 Oktober terhadap seorang mudir yang dikaitkan dengan GISB Holdings (GISBH).
Majistret Amal Razim Alias membenarkan permohonan polis untuk menyambung reman suspek berusia 66 tahun bagi membantu siasatan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Mudir tersebut diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Siti Zuraidah Abdul Aziz.
Media sebelum ini melaporkan, mudir berkenaan direman selama empat hari bermula 26 September lalu selepas polis melakukan serbuan di Sekolah Rendah Integrasi Ikhwan di Pasir Puteh.
Dalam serbuan tersebut, polis merampas 34 buah buku terbitan larangan berkaitan Abuya.
Mudir berkenaan bagaimanapun berjaya ditangkap pada 25 September pukul 11 pagi di tepi sebuah kedai makan di Pasir Puteh.
Pada 24 September lalu, Polis Kelantan menyerbu rumah amal dan sekolah milik GISBH di Gong Kulim, Pasir Puteh dan menemukan pelbagai jenis buku berkaitan Aurad Muhammadiah dan Al Arqam yang disembunyikan dalam stor dalam rumah amal terbabit.