fb fb fb fb fb

Polis Johor bongkar sindiket Ah Long ugut peminjam

Ketua Polis Johor CP M. Kumar menunjukkan cat, telefon bimbit dan nota ugutan antara yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini/Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 11 Julai - Polis Johor membongkar sindiket Ah Long yang aktif di platform Facebook, hasil penahanan 6 ahli sindiket.

Kesemua suspek, warga tempatan berusia 35 hingga 51 tahun, ditahan menerusi beberapa siri serbuan di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur, 28 Jun hingga 1 Julai lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, sindiket aktif sejak April tahun ini, dengan giat melakukan ugutan simbah cat dan membakar kediaman mangsa.

“Mereka dipercayai bergiat aktif sejak April lepas dengan mendapat upah RM400 untuk menyimbah cat dan RM700 untuk melakukan khianat dengan menggunakan bom botol ke atas rumah mangsa.

“Sindiket ini mengiklankan ‘kerja’ itu di dalam Facebook yang menawarkan upah bagi melakukan perbuatan khianat secara terbuka bertujuan menakut-nakutkan peminjam serta ahli keluarga mangsa tanpa perlu bersemuka ketua sindiket.

“Mereka ini akan menghantar video setelah perbuatan khianat selesai dilakukan kepada ketua sindiket bagi mendapatkan upah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Katanya, operasi berkenaan melibatkan dua pegawai dan 15 pegawai dari Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

Tangkapan tersebut berjaya menyelesaikan 24 kes dengan modus operandi sama, di Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, dan Perak.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan selain Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 15(1)(a) Akta dadah Berbahaya 1952.

GRACE AISYAH KEDAYAN