fb fb fb fb fb

Polis buru suspek cuba khianat kedai KK Mart dengan api

Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai mendapati sebuah kereta berwarna gelap mempunyai pelekat warna merah telah berhenti di tepi jalan lebih kurang pukul 5.35 pagi/Foto Polis Perak

 IPOH, 26 Mac - Polis Perak mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian khianat baling botol kaca disyaki berisi minyak tanah di kedai serbaneka KK Mart Bidor, Tapah, pagi tadi.

Ketua Polis, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata laporan diterima daripada seorang pekerja wanita kedai serbaneka tersebut.

Ketika pengadu sedang bekerja di kedai tersebut kira-kira pukul 5.35 pagi, beliau terdengar bunyi botol pecah di bahagian hadapan kedai.

"Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai tersebut, mendapati sebuah kereta berwarna gelap mempunyai pelekat warna merah telah berhenti di tepi jalan lebih kurang pukul 5.35 pagi.

"Pengadu kemudian terus ke bahagian hadapan kedai dan mendapati terdapat serpihan kaca serta bahan letupan menyerupai mercun di atas lantai kedai tersebut.

"Pengadu juga terhidu bau seperti minyak tanah dipercayai daripada serpihan kaca tersebut. Bahan itu akan dihantar ke makmal untuk dapatkan pengesahan daripada forensik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Pencegahan Jenayah Komersil Phone Scam-Penyamar Pos Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Katanya, pihak polis sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil di mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN