fb fb fb fb fb

Polis berkas kumpulan penjenayah warga Amerika Latin

Datuk Rusdi Mohd Isa

KUALA LUMPUR, 27 Jun- Polis berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah warga Amerika Latin yang memecah masuk rumah milik seorang ahli perniagaan di Bukit Damansara pada 31 Mei lalu melibatkan anggaran kerugian sehingga RM7 juta.

Tujuh individu diberkas polis di sekitar ibu negara dan Thailand membabitkan lima lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kumpulan penjenayah yang dilengkapi alat 'jammer' kamera litar tertutup (CCTV) itu, dikesan menyewa kenderaan ke kediaman yang telah dikenal pasti sebelum mengumpil pintu memecah masuk rumah berkenaan.

"Kalau tengok dalam kes ini mereka datang menggunakan kereta sewa dengan nombor plat palsu. Saya ada banyak kes macam ini dia cepat dia boleh umpil mahir mereka ini," katanya dalam sidang media di sini.

Polis berjaya merampas barang kes dipercayai dicuri iaitu 29 utas jam tangan pelbagai jenama, 97 barang kemas dan wang tunai dengan anggaran keseluruhan rampasan sebanyak RM4 juta.

Lima suspek akan dituduh esok mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 34 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain polis sedang mengesan lelaki yang dipercayai menghantar bungkusan berisi objek menyerupai bahan letupan ke pejabat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing di Putrajaya, pada 5 Jun lalu.

Lakaran suspek memakai pelitup muka itu dirakam di sebuah syarikat penghantaran di Sungai Buloh, Selangor, pada hari sama bungkusan itu dihantar.

Rusdi Mohd Isa berkata, suspek memakai baju merah dan jaket hitam selain berpenutup kepala hitam.

"Orang yang datang menghantar bungkusan ini menggunakan identiti orang lain dan orang itu memang ada namun individi itu mengesahkan tidak hadir tidak ada kena-mengena dengan bungkusan ini," katanya.

Bagaimanapun orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek boleh menghubungi pihak polis dengan segera.

Pada 5 Jun lalu, Tiong menerima bungkusan yang mengandungi paip PVC berserta wayar dan penentu masa dan dibawa naik ke pejabatnya di tingkat 14 pada pukul 2.45 petang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Letupan dan Bahan Api 1957.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI