KLANG, 27 Jun- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah II (Selangor) berjaya mematahkan cubaan penyeludupan pelbagai barangan termasuk air zamzam dan rokok menerusi enam operasi berasingan di Lembah Klang.
Operasi tersebut membabitkan rampasan dengan anggaran bernilai RM730,530.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail berkata, rampasan melibatkan air zamzam dilakukan pada serbuan ke atas sebuah gudang di Shah Alam pada 21 Mei lepas.
"Kuantiti rampasan adalah sebanyak 4,685 liter modus operandi digunakan adalah dengan menyimpan dagangan dalam gudang di mana pihak gudang wakil pengurus gagal mengemukakan sebarang bukti pengimportan kes masih dalam siasatan," katanya dalam sidang media di sini.
Sementara itu bagi rampasan rokok, hasil pemeriksaan sebuah gudang di Pelabuhan Utara pada 13 Jun lepas dan operasi ke atas sebuah premis tidak berpenghuni di Seri Kembangan telah membawa kepada penemuan 670,000 batang rokok dengan anggaran nilai dan cukai berjumlah lebih RM505,000.
JKDM turut merampas barangan seludup lain berupa 644.64 liter minuman keras pelbagai jenama, 2,816 keping jubin yang dibawa masuk tanpa sijil kelulusan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan 200 unit peralatan seks di beberapa lokasi berbeza di Lembah Klang.