fb fb fb fb fb

Polis ambil keterangan 11 saksi berhubung kes nota ugutan

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri pada perhimpunan bulanan sempena Sambutan Hari Polis ke-217 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

IPOH, 25 Mac- Polis telah mengambil keterangan sebelas individu bagi membantu siasatan berhubung kes nota berbaur ugutan di hadapan rumah ibu bapa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di Ayer Tawar, Manjung, 7 Mac lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, keterangan individu berkenaan termasuk ibu bapa menteri itu serta jirannya.

Bagaimanapun katanya, belum ada tangkapan dilakukan setakat ini.

"Pihak polis turut melakukan pemeriksaan rakaman video litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) untuk mengesan suspek.

"Tiada tangkapan lagi setakat ini. Orang ramai yang ada maklumat diminta tampil untuk kita lengkapkan kertas siasatan," katanya.

Mohd Yusri ditemui pemberita pada perhimpunan bulanan sempena Sambutan Hari Polis ke-217 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Manjung, Mohamed Nordin Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai nota ugutan itu daripada ibu Kor Ming pada jam 10.15 pagi selepas wanita berusia 76 tahun itu menemukan banyak kertas bertaburan di hadapan rumahnya yang memaparkan tulisan 'Nga Kor Ming jangan cabar Islam', pada jam 7.30 pagi.

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah melalui suatu komunikasi tanpa nama dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum sehingga dua tahun penjara, denda atau kedua-duanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI