fb fb fb fb fb

'Phone Scam': Ahli perniagaan rugi lebih RM100,000

Foto Hiasan/ BERNAMA

IPOH, 11 Mei- Seorang ahli perniagaan di Hutan Melintang mengalami kerugian RM124,450 selepas pekerjanya diperdaya sindiket phone scam melibatkan wang syarikat, baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pengadu lelaki tempatan berusia 55 tahun itu memaklumkan kerani syarikat miliknya ditipu oleh sindiket phone scam terbabit yang menyamar sebagai diri pengadu dan memberi arahan untuk mengeluarkan duit syarikat.

Beliau berkata kira-kira 1.50 tengah hari pada 8 Mei lalu, kerani syarikat terbabit ketika sedang bekerja di Hutan Melintang menerima pesanan WhatsApp daripada nombor telefon pengadu memberikan arahan untuk membuat pindahan wang daripada akaun syarikat pengadu sendiri ke dalam akaun penama tidak dikenali berjumlah RM30,000.

Berikutan itu, anak pengadu telah meluluskan transaksi pindahan wang berkenaan kerana beranggapan pengadu yang memberikan arahan.

"Pada 9 Mei 2024, lebih kurang 1.45 tengah hari, kerani syarikat pengadu sekali lagi telah melakukan transaksi pindahan wang berjumlah RM8,000 ke akaun berbeza," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata pada hari yang sama, sebanyak tiga kali transaksi pindahan wang telah dilakukan oleh kerani di syarikat milik pengadu yang berada di Gopeng berjumlah RM86,450 ke dalam dua akaun berbeza.

Beliau berkata pengadu hanya menyedari nombor telefonnya telah digodam ketika berada di Hat Yai, Thailand semalam apabila dihubungi rakannya yang bertanyakan sama ada dirinya mempunyai masalah kewangan dan meminta untuk meminjam wang.

Menurutnya pengadu tidak pernah memberikan sebarang arahan pindahan wang atau mahu meminjam wang daripada rakan-rakannya.

"Setelah disemak, pengadu mendapati sebanyak lima kali transaksi pindahan wang daripada akaun syarikatnya ke tiga akaun yang berbeza berjumlah RM124,450," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (tipu) dan siasatan masih dijalankan.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket terbabit dan tidak sesekali memasukkan wang ke dalam akaun tidak dikenali, selain tidak membuka sebarang pautan serta jangan memuat turun dokumen tidak diketahui di laman media sosial.

Orang ramai juga boleh menyemak akaun bank yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.semakmule/ sebelum membuat sebarang transaksi pindahan atau kemasukan wang, selain menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 sebelum memindahkan wang ke akaun pihak ketiga untuk pengesahan.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI