fb fb fb fb fb

45 set bubu naga dirampas di sekitar perairan Sungai Limau

45 bubu naga yang dirampas di sekitar perairan Sungai Limau, Yan baru-baru ini / Foto: Maritim Malaysia

YAN, 11 Mei- Sebanyak 45 set bubu naga dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah dalam satu rondaan rutin Op Aman yang dijalankan di beberapa lokasi di sekitar perairan Sungai Limau, Yan baru-baru ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, rampasan bernilai hampir RM6,000 itu berdasarkan aduan awam dan pemantauan rutin yang dilakukan oleh pihaknya.

Jelasnya semasa rondaan dilakukan, pihaknya menemui beberapa pancang yang mencurigakan dipasang di kawasan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan ke atas kesemua pancang dilakukan didapati penggunaan pancang digunakan bagi mengelirukan pihak berkuasa  memandangkan pancang yang sama digunakan oleh pengusaha pukat hanyut.

Kesemua 45 bubu naga yang dirampas  telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di
perairan negara.

Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

ZEHRA BINTI ZAMBRI