PADANG BESAR, 29 April – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya mematahkan cubaan penyeludupan barangan sejuk beku ke negara jiran dalam satu operasi di Kawasan Perindustrian Padang Besar, Perlis, pada Isnin.
Dalam serbuan itu, dua lelaki warga Thailand berusia 22 dan 34 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga gudang berkenaan turut ditahan.
Menurut Komander PGA Briged Utara, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis, SAC Shahrum Hashim hasil pemeriksaan di lokasi menemukan lima buah kontena sejuk beku yang menyimpan 31,600 kilogram kaki ayam dan 10,200 kilogram hati ayam.
Barangan tersebut tidak mempunyai kelulusan sijil kesihatan veterinar di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk dua buah kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux, lima buah kontena, kaki ayam, hati ayam, ubi kentang dan sebuah forklift dianggarkan bernilai RM1.893 juta.
"Ini adalah satu kejayaan hasil maklumat orang awam dan pemantauan PGA Briged Utara yang telah dijalankan selama dua minggu,” katanya dalam satu sidang media, di sini.
Beliau turut menjelaskan pemantauan dan risikan di kawasan sempadan akan terus dipertingkat bagi membanteras aktiviti penyeludupan yang mengancam keselamatan dan ekonomi negara.