KUALA TERENGGANU, 29 April - Bekas pekerja pelantar minyak kerugian wang simpanannya berjumlah RM109,500 selepas diperdaya syarikat pelaburan yang menawarkan saham patuh syariah, dua tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa lelaki berusia 57 tahun telah diperkenalkan oleh rakannya mengenai syarikat pelaburan berkenaan pada 29 Januari 2023, sebelum menyertai sesi penerangan daripada ejen jualan secara dalam talian dan tertarik dengan tawaran pelaburan disediakan.
"Menurut mangsa, syarikat tersebut menawarkan pakej pelaburan berbeza dengan pulangan keuntungan berdasarkan jumlah modal dilaburkan.
"Mangsa telah memilih pakej modal sebanyak RM150,000 dan dijanjikan keuntungan 18 peratus setahun bagi tempoh tiga tahun. Mengikut perjanjian, bayaran keuntungan akan dibuat setiap tiga bulan iaitu kira-kira RM6,700 selama tiga tahun," katanya dalam kenyataan.
Azli berkata pada mulanya mangsa telah menerima bayaran keuntungan sebanyak RM40,500 secara berperingkat seperti dalam perjanjian.
Bagaimanapun bermula 29 Oktober 2024, mangsa tidak lagi menerima bayaran dan pelbagai alasan diberikan syarikat terbabit setelah dihubungi untuk mendapatkan penjelasan.
"Sehingga laporan dibuat pada 11.14 pagi semalam, mangsa masih lagi tidak menerima keuntungan dijanjikan," katanya sambil menambah kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.