SEPANG, 28 April - Dua lelaki didenda RM3,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah memuat naik komen bersifat lucah melalui aplikasi media sosial, tiga tahun lepas.
Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Shahrulamin Abdullah, 41, dan Mohd Rasul Abd Razak, 44, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan masing-masing.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua mereka dipenjara sebulan, jika gagal membayar denda.
Kedua-dua OKS didakwa secara sedar, telah membuat serta memulakan penghantaran komunikasi bersifat lucah menerusi aplikasi Facebook, berhubung satu hantaran portal berita berkaitan bayi perempuan seorang doktor pakar Malaysia yang berkhidmat di United Kingdom.
Mohd Shahrulamin didakwa melakukan kesalahan itu pada 10 malam 20 Dis 2022, manakala Mohd Rasul dituduh menghantar komen itu pada 4.30 petang 29 Dis 2022, mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 dengan tambahan denda RM1,000 sehari jika meneruskan kesalahan itu atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Ahmad Fuad turut memberi peringatan agar semua pihak tidak membuat komen yang menimbulkan kekacauan dan kemarahan masyarakat, terutama yang berbaur lucah dan isu berkaitan 3R (kaum, agama dan institusi diraja).
Beliau berkata nilai kesopanan dan kesusilaan harus dipelihara ketika menggunakan media sosial.
Sementara itu, seorang lagi OKS, Mohd Nasir Kadir, 57, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat hantaran bersifat lucah berkaitan isu sama pada 10.29 malam 15 Dis 2022, dan mahkamah menetapkan 23 Mei ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan lelaki itu jamin RM3,000.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Nur Nazhzilah Mohammad Hashim, manakala ketiga-tiga OKS tidak diwakili peguam. - BERNAMA