MELAKA, 28 April- Polis Melaka berjaya merampas lebih 200 kad debit palsu pada 23 April lalu selepas menahan seorang lelaki warganegara Singapura berusia 42 tahun di sebuah kondominium di Tengkera.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata siasatan awal mendapati suspek telah menyewa kondominium tersebut sejak Januari lalu untuk menjalankan kegiatan memproses kad debit palsu.
Menurutnya, kad debit palsu yang diproses itu adalah untuk pasaran di Jepun. Setelah siap diproses, kad-kad tersebut akan dihantar ke negara jiran melalui kurier.
Suspek dilaporkan menerima bayaran sebanyak 3,800 dolar Singapura setiap bulan untuk menjalankan kegiatan tersebut.
"Suspek menerima bekalan kad debit dari sebuah bank di Laos. Kemudian, menggunakan mesin laser yang dirampas, dia mencetak maklumat pada permukaan kad dan menampal cip serta jalur magnetik pada kad debit tersebut.
"Kad-kad tersebut akan diubahsuai menjadi kad debit premium atau platinum, yang memberi persepsi seolah-olah kad itu lebih eksklusif berbanding kad biasa," katanya.
Dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas empat telefon bimbit, satu set komputer, mesin laser cutting, heat gun blower, mesin pengimbas kad debit, dan sejumlah wang tunai.
Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, Seksyen 424A Kanun Keseksaan kerana memiliki instrumen pembayaran atau akaun tanpa kuasa yang sah, serta Peraturan 39B Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan melanggar syarat pas/permit/pas sempadan.