fb fb fb fb fb

Pesara rugi lebih RM134,000 akibat pelaburan tidak wujud di TikTok

PDRM

KUANTAN, 20 Disember- Seorang pesara mengalami kerugian lebih RM134,000 selepas terperdaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud yang diiklankan menerusi aplikasi TikTok pada 10 Dis lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata wanita berusia 63 tahun itu pada mulanya berminat menyertai skim pelaburan saham menjanjikan keuntungan lumayan yang ditawarkan di platform media sosial itu.

Beliau berkata mangsa kemudiannya menerima pautan untuk menyertai satu kumpulan di aplikasi Telegram sebelum melabur RM30 dan mendapat pulangan RM45.

"Wanita itu mula percaya dengan keuntungan yang diperoleh dan menambah modal pelaburan dengan membuat 12 transaksi menggunakan wang simpanannya ke sembilan akaun berbeza bernilai lebih RM134,000.

"Namun, mangsa mengesyaki diperdaya setelah diminta menambah modal untuk mengeluarkan pulangan hasil pelaburan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

SITI AISHAH MD ISA