KUALA TERENGGANU, 19 November- Seorang pesara guru mengalami kerugian RM570,000 setelah terpedaya dengan pelaburan tidak wujud oleh sebuah koperasi terkenal di Kuantan, Pahang.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Azli Mohd Noor berkata wanita berusia 59 tahun itu tertarik dengan pelaburan tersebut selepas melihat koperasi berkenaan menaja pelbagai program keagamaan yang pernah disiarkan di televisyen pada tahun 2021.
Mangsa menjadi ahli koperasi itu pada 29 Disember 2021 dengan harapan memperoleh keuntungan tinggi menerusi jual beli emas yang ditawarkan, kononnya menjanjikan kadar pulangan dividen antara lapan hingga 15 peratus setahun.
Mangsa telah membuat 17 transaksi berjumlah RM620,000 ke dalam dua akaun berbeza antara Disember 2021 hingga Julai 2022. Namun mangsa hanya menerima keuntungan RM50,000 sepanjang tempoh tersebut.
Menyedari dirinya ditipu, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu semalam.
Siasatan mendapati wang pelaburan itu berasal daripada simpanan peribadi dan wang pencennya. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.