fb fb fb fb fb

Samun warga emas, penjenayah diberkas kurang 18 jam

Foto hiasan

SUNGAI PETANI, 19 November- Seorang lelaki berjaya diberkas dalam tempoh kurang 18 jam selepas menyamun seorang wanita warga emas di sebuah rumah di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, Kedah, pada Ahad lalu.
 
Suspek berusia 36 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Balai Polis Tasek Gelugor, Seberang Perai Tengah di Jalan Lunas, Kampung Tepi Sungai, Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada pukul 4.00 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Wan Azharuddin Wan Ismail berkata polis turut merampas seutas rantai tangan seberat 66.7 gram.
 
Hasil soal siasat, suspek mengaku melakukan samun tersebut dengan bersenjatakan pisau.

Suspek, yang mempunyai 12 rekod lampau berkaitan jenayah dan 10 rekod berkaitan dadah, kini disiasat bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, warga emas berusia 68 tahun disamun seorang lelaki bersenjatakan pisau yang melarikan seutas rantai tangan dan sebentuk cincin emas dipakai mangsa.
 
Balai Polis Sungai Petani menerima aduan berkaitan kejadian tersebut pada pukul 12.36 pagi semalam dan kejadian itu turut dimaklumkan kepada polis di daerah-daerah berdekatan.
 

ROSLINA BINTI DIN