fb fb fb fb fb

Penolong pegawai veterinar berdepan empat pertuduhan terima rasuah

Tertuduh, Mohd Hisham Daud, 46, di pekarangan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini

KUALA TERENGGANU, 8 Mei- Seorang Penolong Pegawai Veterinar Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menyalahgunakan jawatan bagi mendapatkan suapan melalui perolehan kerja pembaikan kenderaan jabatan.

Mohd Hisham Daud, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meluluskan satu dokumen indent kerja atau pesanan tempatan bagi kerja membekal alat ganti dan menyelenggara kenderaan jabatan kepada sebuah syarikat yang bernilai RM8,578.60. 

Bagaimanapun perkhidmatan itu tidak dilaksanakan oleh syarikat tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di antara Mac 2019 sehingga Jun 2020.

Bagi setiap kesalahan yang didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama.

Sekiranya sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau RM 10,000.00 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM 6,000.00 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Jun depan bagi pengurusan kes.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan untuk dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan termasuk menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai dibicarakan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mariah Omar dan Pegawai Pendakwa SPRM Nur Raihan Mohd Yusof, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

SITI AISHAH MD ISA