fb fb fb fb fb

Kastam Sarawak rampas rokok, minuman keras bernilai RM2.31 juta

Minuman keras dan rokok pelbagai jenama dirampas dalam serbuan di sebuah premis rumah di Saratok/Foto Kastam Sarawak

Kuching, 8 Mei - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas 2,157,720 batang rokok dan 2,185.92 liter minuman keras jenis bir yang disyaki tidak berkastam dalam satu serbuan di sebuah premis rumah tanpa nama di Saratok pada 24 April lepas.

Pengarah Kastam Negeri, Norizan Yahya berkata, rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM2,310,450.00 termasuk duti dan cukai.

“Semasa serbuan dan pemeriksaan dilakukan tiada wakil atau pemilik barang berada di tempat kejadian. Pasukan telah menunggu hampir satu jam namun tiada wakil atau pemilik yang tampil mengaku pemilik barang-barang tersebut,” jelasnya.

Nilai barang rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM775,790.00 manakala anggaran jumlah duti dan cukai yang terlibat adalah sebanyak RM 1,534,656.49.

Menurutnya, modus operandi sindiket adalah menyimpan rokok dan minuman keras yang tidak berkastam tersebut di dalam kawasan perumahan terpencil sebelum diedar ke pasaran tempatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000.00 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Norizan menyeru orang ramai agar membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan dadah dan barangan yang lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

GRACE AISYAH KEDAYAN