fb fb fb fb fb

Empat pegawai kastam tidak mengaku salah ambil dadah

Empat pegawai kastam di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan mengambil dadah 28 April lalu

BATU PAHAT, 8 Mei- Tiga pegawai serta seorang Pembantu Penguasa dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan dadah, minggu lalu.

Tertuduh, Norazmi Mohd Rashid, 40, Mohd Ruduan Yahya@Yahaya, 43, Salehudin Idres, 43, dan Mohamad Safiq Basman, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.
 
Mereka didakwa menggunakan dadah jenis amphetamin, methdylenedioxy, amphetamine dan methdylenedioxymethamphetamine pada 28 April lalu.

Keempat-empat tertuduh didapati positif dadah menerusi hasil saringan ujian air kencing ke atas mereka, antara pukul 6.30 hingga 7.00 pagi di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, Johor. 

Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahida Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Peguam Mohd Azlan Shah Mohd Allias dan Naziha Abdul Rahim.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 dan menetapkan 26 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu pada 28 April, polis menyerbu sebuah pusat hiburan sebelum menahan 49 individu termasuk 11 penjawat awam.

SITI AISHAH MD ISA