KUALA TERENGGANU, 12 November - Seorang peniaga maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Tengku Mizan, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, Sulaiman Mamat, 67, meninggal dunia di wad kecemasan di Hospital Sultanah Nur Zahirah HSNZ pukul 5.15 pagi tadi akibat cedera parah.
Kemalangan melibatkan motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa dan sebuah kereta pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun.
"Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kenderaan pacuan empat roda dari arah Alur Jambu, Kuala Nerus menghala ke pasar borong Gong Pauh telah terlanggar belakang motosikal ditunggang mangsa yang berada di laluan kiri jalan ketika mendaki Jalan Tengku Mizan.
"Kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa mengalami cedera parah dan telah dibawa ke HSNZ untuk rawatan susulan.
"Waris mangsa kemudiannya memaklumkan bahawa bapanya telah meninggal dunia 5.15 pagi di wad kecemasan di hospital berkenaan," katanya menerusi kenyataan di sini pada Selasa.
Pemandu kenderaan pacuan empat roda tersebut tidak mengalami apa-apa kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.##