fb fb fb fb fb

Kemuka dokumen palsu, pengarah syarikat bergelar 'Datuk' ditahan

Suspek lelaki berusia sekitar 40-an yang merupakan warganegara Bangladesh ditahan kira-kira pukul 9.00 malam semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM Selangor

KUALA LUMPUR, 12 November- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman seorang pengarah syarikat bergelar 'Datuk' disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu.

Ia membabitkan permohonan kuota pekerja asing untuk kelulusan Kementerian Sumber Manusia yang bernilai kira-kira RM1.1 juta.

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, perintah reman selama enam hari hingga 17 November depan dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

Perkara itu selepas SPRM membuat permohonan di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia sekitar 40-an yang merupakan warganegara Bangladesh ditahan kira-kira pukul 9.00 malam semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM Selangor.

"Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2023 dengan mengemukakan dua permohonan kuota melibatkan seramai 600 pekerja asing oleh syarikat berkenaan sedangkan pembekalan tenaga kerja bagi projek yang dikemukakan tidak wujud.

"Dua permohonan ini melibatkan pembayaran levi kira-kira RM650,000 dan RM460,000," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI