fb fb fb fb fb

Pengusaha kedai cuci kereta bebas tuduhan edar, miliki dadah

Mahkamah Tinggi Johor Bahru melepas dan membebaskan Mohamad Faez Moktar daripada tiga pertuduhan mengedar dan memiliki dadah di Johor Bahru, empat tahun lalu.

JOHOR BAHRU, 29 Februari- Mahkamah Tinggi Johor Bahru melepas dan membebaskan pengusaha kedai cuci kereta daripada tiga pertuduhan mengedar dan memiliki dadah di Johor Bahru, empat tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Noor Hayati Mat selepas pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mohamad Faez Moktar, 33 tahun.

Noor Hayati menerusi penghakimannya berkata, elemen pengetahuan terhadap pemilikan dadah gagal dibuktikan pendakwaan.

Terdahulu, dia didakwa dengan dua pertuduhan mengedar 2778.1 gram dan satu pertuduhan memiliki 1.79 gram dadah di sebuah rumah di Horizon Hills, Johor Bahru pukul 4.30 pagi pada 30 Disember 2020.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum gantung sampai mati mengikut Seksyen 39B Akta Dadah berbahaya 1952 dan Seksyen 30(5) Akta Racun 1952.

Lima saksi pendakwaan dipanggil bagi memberi keterangan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Norliza Abdullah dan tertuduh diwakili peguam, Mohd Daud Ismail.

ZEHRA BINTI ZAMBRI