fb fb fb fb fb

Kesalahan memiliki haiwan dilindungi, pekerja ladang didenda RM50,000

Seorang pekerja ladang warga Indonesia didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahruselepas mengaku bersalah memiliki lima ekor Burung Murai Batu, di Ulu Tiram

JOHOR BAHRU, 29 Februari - Seorang pekerja ladang warga Indonesia didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas mengaku bersalah memiliki lima ekor Burung Murai Batu, di Ulu Tiram, di sini.

Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim memerintahkan Sadiyo, 27 tahun dipenjara setahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Raya Jabatan Perhilitan, Anongrakh Wechit memberitahu bahawa tertuduh gagal membayar jumlah denda yang dikenakan.

Mengikut fakta kes, lima ekor haiwan dilindungi itu dijumpai di kediaman pekerja di Jalan Tanah Merah, Taman Desa Cemerlang, di sini, Khamis lalu.

Semakan mendapati Sadiyo gagal mengemukakan dokumen atau kebenaran Jabatan Perhilitan untuk menyimpan burung berkenaan.

Tertuduh tidak diwakili peguam dan kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dalam Perintah Pemuliharaan Hidupan Liar Pindaan Jadual 2012.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN