BATU PAHAT, 2 Mei- Seorang pembantu kedai telefon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kematian lelaki kurang upaya, Februari lalu.
Tertuduh, Lim Guan Yan, 24 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Suhaila Shafi’uddin.
Berdasarkan pertuduhan, dia yang memandu kereta Toyota Vios didakwa memandu dalam keadaan melulu sehingga menyebabkan kematian Mohd Riduan Abdullah, 58 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di Batu 21, Jalan Muar-Parit Sulong Batu Pahat, 27 Februari lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Prosiding dikendalikan Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan.
Mahkamah menetapkan 20 Jun depan sebagai tarikh pengurusan kes dan lantikan peguam pilihan.