KUALA LUMPUR, 2 Mei - Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali kerana mengabai serta menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella.
Hakim Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Siti Bainun, 32, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Mei 2023.
“Mahkamah mendapati tiada sebab untuk mahkamah ini mengusik dapatan Hakim Mahkamah Sesyen. Oleh itu, sabitan dan hukuman perayu (Siti Bainun) adalah selamat dan dikekalkan. Rayuan perayu ditolak,” kata hakim itu.
Pada 3 Mei 2023, Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas mendapati dia bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13 dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara itu serta-merta selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman.
Wanita itu kemudian dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara.
Mahkamah Tinggi pada 23 Mei 2023 menolak permohonan Siti Bainun agar pelaksanaan hukuman penjara terhadapnya ditangguhkan selepas mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa untuk berbuat demikian.
Mengikut pertuduhan, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.
Dia juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria, Nor Azizah Mohamad dan Analia Kamaruddin manakala peguam Haijan Omar, Nur A'minahtul Mardiah Md Noor dan Nurul Hafidzah Hassan mewakili Siti Bainun. - BERNAMA
ARTIKEL BERKAITAN
- Keputusan rayuan Siti Bainun terhadap hukuman penjara 12 tahun hari ini
- Rayuan Siti Bainun terhadap sabitan, hukuman ditangguh ke 30 Jan
- Pendakwaan tutup kes Siti Bainun, keputusan 24 November
- Siti Bainun diperintah bela diri atas tuduhan abai dan aniaya Bella
- Saya sayang Bella lebih dari anak lain - Siti Bainun
- Siti Bainun gagal dapatkan rakaman percakapan saksi, bicara bermula Januari