fb fb fb fb fb

Pemandu kereta tersangkut di jambatan motosikal bawa dadah ditahan

FOTO POLIS PERAK

IPOH, 19 April- Polis mengesahkan penahanan seorang lelaki yang terbabit dalam insiden sebuah kereta tersangkut pada jambatan motosikal di Kuala Kurau selepas mendapati pemandu berkenaan membawa bersama satu plastik mengandungi dadah, semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Juna Yusoff menerusi satu kenyataan berkata pihaknya menerima maklumat kejadian melibatkan kereta jenis Perodua Myvi dipandu suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu sekitar pukul 8.45 pagi.

"Anggota ronda Balai Polis Kuala Kurau diarahkan ke tempat kejadian dan mendapati kenderaan tersebut tersangkut di hujung jambatan kerana hanya boleh digunakan motosikal dan mendapati pemandu sedang menjerit-jerit kepada orang awam.

"Pihak polis kemudian cuba menenangkan keadaan dan mendapatkan maklumat diri pemandu kereta namun beliau enggan bekerjasama dan berlaku pergelutan dalam usaha polis melaksanakan tangkapan," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata hasil siasatan dan pemeriksaan lanjut menemukan satu paket plastik mengandungi dadah pada lelaki berkenaan.

Katanya pemandu itu ke Balai Polis Batu Kurau sebelum dirujuk ke Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine.

Menurutnya kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi balai polis terdekat atau bilik gerakan IPD Kerian di talian 05-7212222 untuk membantu siasatan,” katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE