fb fb fb fb fb

Pelaburan tidak wujud, pesara jururawat rugi RM1.9 juta

Seorang pesara jururawat mengalami kerugian sebanyak RM1,902,070 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan tidak wujud yang diiklankan melalui laman YouTube / Foto Hiasan

JITRA, 4 September – Seorang pesara jururawat mengalami kerugian sebanyak RM1,902,070 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan tidak wujud yang diiklankan melalui laman YouTube.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendent Loi Yew Lik berkata mangsa seorang wanita berusia 76 tahun mula berurusan dengan wakil syarikat pelaburan tersebut setelah melihat iklan pelaburan di YouTube.

Mangsa yang merupakan bekas jururawat di Sydney, Australia, mengikuti kelas dalam talian yang diadakan oleh pihak syarikat sebagai sebahagian daripada proses pelaburan.

"Pada 17 Jun 2024, mangsa membuat bayaran modal permulaan sebanyak RM100,000. Seterusnya, mangsa terus membuat 19 transaksi tambahan ke pelbagai akaun yang dibekalkan oleh syarikat tersebut, sehingga jumlah keseluruhan bayaran mencapai RM1,902,070," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Yew Lik, mangsa dijanjikan pulangan dalam tempoh sebulan namun sehingga kini belum menerima sebarang pulangan.

"Merasa curiga dan mengesyaki dirinya ditipu, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Jitra pada pukul 12.37 tengah hari semalam (Selasa)," tambah Liew Yik.

Liew Yik berkata, siasatan awal mendapati pelaburan tersebut adalah palsu dan menggunakan nama syarikat pelaburan antarabangsa, Capital Dynamic.

Beliau turut menasihati orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dan segera membuat semakan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atau melalui laman web https://semakmule.rmp.gov.my sebelum melabur dalam mana-mana syarikat atau platform pelaburan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN