fb fb fb fb fb

Pekerja pembinaan rugi lebih RM123,000 angkara pelaburan tidak wujud

Foto Hiasan

JOHOR BAHRU, 27 Ogos- Seorang pekerja pembinaan berputih mata selepas mengalami kerugian lebih RM123,000 setelah disyaki diperdaya skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata, lelaki tempatan berusia 36 tahun itu menerima mesej menerusi WhatsApp yang menawarkan skim pelaburan dengan hanya memuat turun aplikasi 'Bitbest' pada 1 Ogos lalu.

Beliau berkata mangsa dijanjikan pulangan 88 peratus daripada nilai pelaburan, menyebabkan dia tertarik untuk mencuba dan memuat turun aplikasi itu serta mendaftarkan maklumat peribadi.

"Dia juga membuat sembilan kali transaksi bayaran ke dalam lima akaun bank berbeza antara 1 Ogos hingga 22 Ogos yang keseluruhannya berjumlah RM123,470.04.

"Dalam tempoh itu, mangsa cuba menuntut keuntungan yang dijanjikan, namun suspek memberikan pelbagai alasan dan memintanya membuat bayaran tambahan, sebelum mangsa sedar dia ditipu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, Sabtu lalu.

Ujar Mohd Sohaimi, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI