fb fb fb fb fb

Pekerja kilang didakwa bunuh lelaki

Tertuduh, D.Tanabalan diiringi polis ketika tiba di mahkamah

TELUK INTAN, 18 April- Mahkamah Majistret Teluk Intan menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes seorang pekerja kilang yang didakwa membunuh seorang lelaki, awal bulan ini.

Majistret T.Ashvinii menetapkan tarikh itu bagi menunggu laporan kimia.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh, D.Tanabalan 42 tahun didakwa membunuh S.Sundraj 32 tahun di tepi jalan dekat Langkap, Teluk Intan antara pukul 6.30 petang hingga 8 malam, pada 5 April 2024..

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati hendaklah dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh mengangguk faham ketika pertuduhan ke atasnya dibacakan, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Izzudin Fakri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 9 April lalu, enam lelaki dan seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung seorang lelaki di bunuh di sebuah taman perumahan dekat Langkap.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE