fb fb fb fb fb

Minta rasuah daripada beberapa firma guaman, dua lelaki ditahan SPRM

FOTO HIASAN

MELAKA, 18 April- Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka mengesahkan penahanan dua individu selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan permintaan dan penerimaan wang suapan daripada beberapa firma guaman di sekitar negeri ini berjumlah lebih RM300,000 dari 2018 hingga 2022.

Perintah reman hingga 21 April itu dikeluarkan Majistret Nabilah Nizam selepas membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman dua lelaki tersebut yang merupakan seorang bekas pegawai bank di Melaka berusia 35 tahun dan individu berusia 43 tahun yang masih bekerja sebagai pegawai bank di Petaling Jaya, Selangor.

Pengarah SPRM Melaka Adi Supian Shafie menerusi satu kenyataan memberitahu, penahanan dilakukan pukul 6 petang semalam di Pejabat SPRM Melaka.

Jelasnya, kedua-dua lelaki itu disyaki menerima suapan dalam membantu memberikan rujukan kes kepada beberapa firma guaman untuk urusan dokumentasi pinjaman hartanah daripada institusi kewangan tempat mereka bekerja.

Kes disiasat mengikut Sekyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE