fb fb fb fb fb

Pegawai SPRM dituduh salah guna wang sitaan operasi RM613,000

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR, 5 November - Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam, Selangor di sini hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan harta dengan curang berjumlah RM613,000.

Tertuduh, Azizun Mohamad yang memegang jawatan sebagai Penolong Pesuruhjaya SPRM didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan wang sitaan berkaitan dengan operasi Op Green.

SPRM menerusi kenyataan berkata, Op Green adalah operasi SPRM yang berjaya membongkar kes penipuan pendaftaran kenderaan diesel dalam sistem mySikap pada tahun 2019.

Pegawai itu melakukan kesalahan tersebut antara 1 Jun 2020 sehingga 9 Februari 2024 di Cyberjaya.

"SPRM mengambil serius dan tidak berkompromi terhadap isu integriti dan etika kerja semua pegawainya.

"Harus ditegaskan, SPRM tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang melanggar peraturan dan undang-undang bagi memastikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada Suruhanjaya terus terpelihara," menurut kenyataan agensi rasuah itu di sini pada Selasa.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun, dikenakan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda.

Tambahnya, tindakan itu mencerminkan kesungguhan SPRM dalam menegakkan keadilan dan membanteras rasuah dan salah guna kuasa tanpa pilih kasih.

"SPRM tekad mengekalkan ketelusan dalam setiap tindakan bagi memastikan keadilan dan proses perundangan dilaksanakan sewajarnya," tegasnya.

GRACE AISYAH KEDAYAN