fb fb fb fb fb

Peniaga sayur rugi RM274,000 diperdaya 'pegawai syarikat insurans'

Gambar hiasan

TEMERLOH, 5 November - Seorang peniaga sayur berusia 68 tahun kerugian RM274,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan 'phone scam' yang menyamar sebagai pegawai sebuah syarikat insurans dan polis.

Wanita itu terpedaya dengan helah suspek yang mendakwa mangsa menuntut insurans palsu selain waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai syarikat insurans pada 28 September lalu berkaitan terdapat tuntutan atas namanya.

"Mangsa sebelum itu menafikan terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram sebelum panggilan disambungkan kepada 'pegawai polis' berpangkat Inspektor kononnya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk tindakan selanjutnya.

"Kononnya, Inspektor tersebut memberitahu mangsa turut dikehendaki kerana terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram sebelum diminta menyerahkan maklumat akaun bank untuk siasatan lanjut.

"Mangsa mendakwa panggilan turut disambungkan kepada beberapa 'pegawai' lain termasuk seorang Timbalan Pendakwa Raya yang memaklumkan tentang waran tangkap tersebut," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kemudian suspek mengarahkan mangsa memindahkan semua wang simpanan ke satu akaun bank miliknya untuk tujuan siasatan kewangan dan menangguhkan waran tangkap.

Mangsa sekali lagi menerima panggilan pada 1 Oktober lalu namun daripada suspek lain yang menyamar sebagai pegawai penyiasat kewangan dan mengarahkannya menukar kad bank serta mendaftarkan nombor telefon baharu.

Beliau berkata, mangsa mula curiga dan syak telah ditipu selepas mendapati berlaku 32 transaksi pemindahan wang dari akaun banknya ke 14 akaun tidak dikenali antara 2 hingga 10 Oktober lalu.

Selepas memaklumkan kejadian kepada keluarga, mangsa tampil membuat laporan polis di sebuah balai di Temerloh, Pahang.

"Orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada dan tidak mudah percaya panggilan telefon mencurigakan.

"Terutama melibatkan arahan pemindahan wang atau pengesahan maklumat peribadi individu mengaku sebagai pegawai polis atau wakil agensi kerajaan," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN