fb fb fb fb fb

Pecah amanah lebih RM580,000: Wanita mengaku tidak bersalah terhadap 28 pertuduhan

Seorang wanita bekas eksekutif akaun dan pentadbiran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas 28 pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat melibatkan lebih RM580,000

BUTTERWORTH, 23 Julai - Seorang wanita bekas eksekutif akaun dan pentadbiran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 28 pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat melibatkan lebih RM580,000.

Perbuatan tersebut dilakukan sekitar tahun 2022 dan 2023.

Bagaimanapun, tertuduh Fatin Atikah Abdul Halim, 35 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusoff.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh telah memindahkan cek yang keseluruhannya berjumlah RM581,492.45 ke dalam akaun miliknya.

Tertuduh didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang tersebut.

Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Pengkalan MK 6 Bukit Tengah, Bukit Mertajam antara 10 April 2022 hingga 28 Jun 2023.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga 14 tahun serta boleh didenda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Mukmin Aimi Azmi.

Menurut Ahmad Mukmin, anak guamnya perlu menyara tiga anak berusia empat hingga lapan tahun selain suaminya hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM75,000 bagi kesemua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 23 Ogos depan bagi sebutan semula kes.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN