fb fb fb fb fb

Pasangan suami isteri didakwa buat tuntutan palsu

Foto RTM

SEREMBAN, 26 Jun-Pasangan suami isteri dihadapan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan mengemukakan maklumat palsu berkaitan borang tuntutan bayaran hartanah, Jabatan Perkhidmatan Penilaian dan Harta (JPPH).

Bagaimanapun, tertuduh, Mohammed Hafiz Baharudin, 48 tahun yang merupakan calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, dan isteri, Hazlin Suraya Halim, 43 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Kesalahan tersebut dilakukan antara 17 September 2019 sehingga 3 Julai 2020, di Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Seremban.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh dengan niat sama sebagai pengarah sebuah syarikat telah melakukan sesuatu pemalsuan kepada enam borang JPPH/T/11/A dengan memasukkan penyataan palsu pada borang tersebut dengan niat untuk tujuan menipu.

Kedua-dua tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menetapkan jamin sebanyak RM6,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri ke Pejabat SPRM Seremban pada hari Sabtu pertama setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 24 Julai depan sebagai sebutan semula kes

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD