fb fb fb fb fb

Imigresen KL tumpaskan kegiatan sindiket pemalsuan dokumen

Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur menumpaskan kegiatan sindiket pemalsuan dokumen menerusi operasi di Jalan Sultan Azlan Shah

KUALA LUMPUR, 26 Jun- Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur menumpaskan kegiatan sindiket pemalsuan dokumen menerusi operasi di Jalan Sultan Azlan Shah di ibu negara.

Sindiket itu berselindung di sebalik perniagaan kedai dobi, alat telekomunikasi dan kedai gunting rambut bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, menerusi operasi itu terdapat puluhan pasport dipercayai memiliki cop palsu dalam premis berkenaan.

Pihaknya melakukan operasi yang berakhir kira-kira pukul 12.00 tengah malam tadi dijalankan berdasarkan hasil risikan selama enam bulan di lokasi itu.

"Operasi itu juga telah melumpuhkan sindiket menggunakan warga asing dan kanak-kanak untuk menjalankan aktiviti mengemis sekitar ibu negara.

"Lebih menyedihkan bayi dan kanak-kanak berusia antara 10 bulan hingga enam tahun diberikan ubat dipercayai untuk 'ditidurkan' sebelum dibawa oleh warga asing dewasa bagi menjalankan aktiviti," katanya kepada pemberita di sini.

Perbuatan itu dipercayai bagi meraih simpati orang ramai sekali gus meningkatkan 'pendapatan' warga asing terbabit hasil aktiviti mengemis.

Menerusi operasi itu seramai 79 warga asing dan seorang lelaki warga tempatan kesemuanya berusia antara 10 bulan hingga 59 tahun.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Akta Pasport 1966 (Akta 150).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI