KUALA LUMPUR, 9 Mei- Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengingatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan spekulasi berhubung kejadian serangan terhadap tiga pemain bola sepak negara baru-baru ini.
Perkara itu berikutan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) masih menyiasat motif sebenar motif sebenar kejadian serangan dan samun terhadap Akhyar Rashid, Faizal Halim dan Safiq Rahim.
"Ada masyarakat menyebarkan benda-benda yang tidak sepatutnya, jadi ini tidak bagus. Saya pun sudah berulang kali mengingatkan supaya perkara ini tidak dijadikan spekulasi. Ia disebabkan ada individu yang cuba mengaitkan kejadian itu terkait dengan pihak istana, dan ia tidak sepatutnya berlaku.
"Pasal kita pun tidak dapat lagi motif sebenar tetapi ada pengguna media sosial yang membuat fitnah yang boleh mengganggu siasatan.. Perkara itu pun tidak diketahui diperolehi dari mana, jadi ia sesuatu yang tidak bagus," katanya kepada pemberita di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2024 di ibu negara.
Pada masa sama beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkan kepada pihak polis untuk tindakan sewajarnya.
Selain itu pihaknya turut mengesahkan dua tangkapan telah dibuat berhubung insiden berkenaan.