fb fb fb fb fb

Mahasiswa didakwa simbah asid kepada rakan

Tertuduh, A Keertana Naidu, 22, dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini

KOTA BHARU, 9 Mei- Seorang penuntut di sebuah universiti didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan iaitu menyimbah asid terhadap rakannya hingga menyebabkan cedera parah dan memiliki cecair itu pada 3 Mei lalu.

Tertuduh, A Keertana Naidu, 22, bagaimanapun mohon untuk dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Nurul Husna Rahim, 22, dengan menggunakan bahan melecur iaitu asid sulfurik.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memiliki bahan kakisan iaitu asid sulfurik yang menimbulkan anggapan yang munasabah bahawa tertuduh bercadang hendak menggunakan bahan itu bagi menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dihukum di bawah akta yang sama. 

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun dan disebat.

Kedua-dua pertuduhan itu dilakukan di Pejabat Jabatan Keselamatan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kota Bharu, sekitar pukul  4.23 petang, pada 3 Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Azeezi Nordin.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana ia satu kesalahan serius dan tertuduh dengan mangsa saling mengenali.

Sementara itu, Azeezi mohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin memandangkan tertuduh adalah seorang pelajar universiti di Pagoh, Johor.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 untuk kedua-dua pertuduhan  dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa.

Tertuduh juga diminta melapor diri setiap bulan di balai polis terdekat sehingga kes selesai dan menetapkan 9 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

SITI AISHAH MD ISA