fb fb fb fb fb

Maritim Pahang tahan bot nelayan gajikan kru warga asing

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri Pahang menahan sebuah bot nelayan pada Rabu kerana dipercayai menggajikan kru warga asing yang tidak memiliki permit sah

KUANTAN, 9 Mei - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri Pahang menahan sebuah bot nelayan pada Rabu kerana dipercayai menggajikan kru warga asing yang tidak memiliki permit sah.

Pengarahnya, Laksama Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata penahanan itu dibuat dalam Op Makmur dan Op Tiris pada jarak lebih kurang lima batu nautika dari timur Pulau Berhala, Pekan.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot nelayan kelas C itu dikendalikan seorang tekong dan tiga kru bot warga Myammar yang berusia lingkungan 22 hingga 42 tahun. Dalam penahanan itu juga, 630 kilogram ikan pelbagai jenis dirampas," katanya menerusi kenyataan.

Kesemua kru bot bersama hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan dibawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Tambah Mazlan, kesalahan dilakukan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran bertulis dari Ketua Pengarah Perikanan untuk kelulusan menggajikan kru bukan warganegara di atas bot penangkapan ikan tempatan.

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan terutamanya di perairan Pahang khasnya.

"Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09- 5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN