fb fb fb fb fb

Pegawai tugas khas bekas ahli Parlimen Kedah didenda RM45,000

Foto hiasan

ALOR SETAR, 9 Mei- Seorang bekas pegawai tugas khas kepada seorang bekas ahli parlimen di Kedah dikenakan hukuman denda sebanyak RM45,000 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan membuat tuntutan palsu melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM29,500, empat tahun lalu.
 
Tertuduh, Mohamad Khalid Abdul Hamid, 46 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Alor Setar, Priscilla Hemamalini A/P Nadarajan, pagi tadi.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan curang menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu invois atas syarikat Zaifol Azri Abu Seman yang berjumlah RM10,000 yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.
 
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu invois atas syarikat Zaifol Azri Abu Seman yang berjumlah RM10,000 yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.
 
Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu invois atas syarikat Zaifol Azri Abu Seman yang berjumlah RM9,500 yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.
 
Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Merbok pada 20 Januari 2020 dan disiasat bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
 
Terdahulu pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal atas faktor kepentingan awam dan kesalahan dilakukan berleluasa serta merugikan kerajaan.
 
Bagaimanapun, tertuduh tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan memandangkan dia kini bekerja sebagai penjaga stor dengan pendapatan RM2,500 sebulan selain perlu menyara ibu yang tidak sihat serta tiga anak saudara.
 
Pendakwaan dikendalikan tiga pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zahariman Keman, Muhamad Taufik Awaludin dan Mohd Yasri Yahya.
 
Hakim Priscilla Hemamalini kemudian menjatuhkan hukuman denda RM15,000 bagi setiap pertuduhan dan akan dihukum penjara lima bulan jika gagal membayar denda tersebut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI