fb fb fb fb fb

Nenek antara empat individu ditangkap edar, proses dadah bernilai RM4.325 juta

Empat suspek yang ditahan polis dipercayai terlibat sindiket proses dan edar dadah di Pontian

PONTIAN, 10 Mei- Empat individu termasuk wanita warga emas berusia 75 tahun diberkas, dipercayai terlibat sindiket mengedar dan memproses dadah, bernilai RM4.325 juta, di Pontian, 4 Mei lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M. Kumar berkata operasi dijalankan menerusi dua serbuan.

Sindiket berkenaan katanya dipercayai aktif sejak Februari lalu.

Beliau berkata, sidiket menjadikan rumah atas air, sebagai lokasi memproses dan membungkus semula dadah, sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Jelasnya, hasil pemeriksaan polis menemukan sejumlah 26.61 kilogram pelbagai jenis dadah.

"Polis menemukan 25,211.85 gram serbuk yang disyaki ekstasi, 275.0 gram pil erimin 5, 532.59 gram pil ekstasi, 232.60 gram ketamin, 362.02 gram ganja. Hasil ujian air kencing dijalankan ke atas empat tangkapan tersebut, tiga didapati positif meth, dan tiga-tiga lelaki tempatan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,"katanya.

M. Kumar memberitahu, jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan untuk menampung keperluan 88,234 orang penagih.

Turut dirampas, pelbagai peralatan memproses dan membungkus serbuk ekstasi, selain sitaaan enam kereta, serta wang tunai Malaysia dan Singapura, berjumlah RM561,657.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, M. Kumar turut memberitahu, 2.3 juta tan dadah telah dirampas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor, sejak Januari hingga lapan mei lalu, melibatkan nilai RM17.80 juta.

1005 MAKCIK JUAL DADAHSebahagian daripada dadah dan peralatan yang dirampas

 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE