fb fb fb fb fb

Op Serkap dan Minyak di Perak, 33 warga Bangladesh ditahan

Pengarah JIM Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik (tengah)

MANJUNG, 25 Jun - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menahan 33 warganegara Bangladesh hasil serbuan Op Serkap dan Minyak di tiga premis perniagaan sekitar daerah Manjung pada Isnin.

Pengarahnya Meor Hezbullah Meor Abd Malik menerusi satu kenyataan berkata, operasi tersebut hasil aduan dan pemantauan yang dibuat Unit Risikan dan Operasi Imigresen di lokasi tersebut.

Jelasnya, kesemua mereka yang ditahan merupakan lelaki berusia antara 25 hingga 45 tahun dan telah ditempatkan di Depot Imigresen Ipoh untuk tindakan lanjut.

"Kesemua mereka dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah serta Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu tinggal melebihi tempoh sah pas yang dikeluarkan" katanya.

Ia termasuk, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat-syarat pas.

Ujar Meor Hezbullah, siasatan turut menjurus dibawah Akta Pemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2022 disyaki wujud unsur eksploitasi oleh majikan.

Tambahnya, operasi yang bermula pada pukul 3.30 petang dan tamat pada 5.00 petang itu telah memeriksa 35 warga negara asing dengan keanggotaan 18 orang pegawai.

Pihaknya menyeru agar masyarakat dapat membantu membuat laporan atau aduan bagi membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam negara ini.

TETITIA YUSOFF