fb fb fb fb fb

Pukul Isteri: Juruteknik mengaku tidak bersalah

Foto BERNAMA

PORT DICKSON, 25 Jun-Seorang Juruteknik mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memukul isterinya di sebuah hotel di Port Dickson pada 24 Mei lalu.

Tertuduh, Mohd. Ridwan Mat Nasir, 37 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mahkamah Port Dickson, Uthman Abd. Ghani.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah menggunakan kekerasan jenayah kepada isterinya yang berusia 38 tahun kira-kira pukul 9.50 pagi di tingkat sembilan sebuah hotel di Port Dickosn pada 24 Mei lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 352A Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM2,500 dengan syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu mangsa.

Kes disebut semula pada 23 Julai ini bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed sebelum ini melaporkan, tertuduh ditangkap pada 20 Jun lalu di Mahkamah Syariah Bangi, selepas video kejadian berkenaan tular pada 19 Jun di media sosial.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD