fb fb fb fb fb

Miliki bahan berkaitan Daesh, penganggur berdepan penjara 40 tahun

Foto RTM

SEGAMAT, 25 Jun-Seorang penganggur berdepan hukuman penjara 40 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Segamat, Johor, hari ini atas dua pertuduhan menyokong dan memiliki bahan berkaitan pengganas Daesh.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan tertuduh, Hasbullah Hassan, 45 tahun selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rahimah Abd Majid.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memberi sokongan kepada Daesh dengan cara mempromosikan kumpulan pengganas itu menggunakan media sosial Facebook atas nama Hasbullah Hassan.

Perbuatan itu dikesan pada pukul 9 pagi di Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas, Tingkat 24 Menara Dua Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Kuala Lumpur pada 23 Mac tahun lalu.

Bagi pertuduah itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 40 tahun atau dengan denda jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh juga didakwa memiliki bahan iaitu video, gambar dan barangan yang mempunyai kaitan dengan perlakuan perbuatan pengganas Daesh serta didakwa mengikut Seksyen 130 JB (1)(a) Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu dilakukan di Felda Palong Timur Tiga, Batu Anam, Segamat, Johor pada 30 Mei lalu. 

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mat Radzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 24 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan pakar dan tiada  jaminan ditawarkan kepada tertuduh atas alasan keselamatan. 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD