fb fb fb fb fb

Media diminta lapor berita betul & sahih - PDRM

Hussein Omar Khan / Foto RTM

SHAH ALAM, 7 Oktober- Media diminta melaporkan berita betul dan sahih kepada masyarakat.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, teguran dibuat selepas terdapat media yang melaporkan berita salah dan menggelirukan masyarakat.

"Setiap berita yang anda keluarkan, pastikan ia daripada saya sebagai Ketua Polis Negeri atau daripada Ketua Polis Daerah.

"Kami menghormati profesion anda. Namun, dalam masa yang sama, ada kes-kes yang belum boleh kami dedahkan. Kami minta anda menunggu dan bersabar, tetapi anda tetap menggunakan sumber-sumber lain dan mendedahkannya dalam media. Ini tidak begitu bagus kerana ia telah mengganggu siasatan pihak polis," katanya kepada media sebelum memulakan sidang media di Kejayaan Tangkapan dan Rampasan Jabatan Siasatan Jenayah Selangor di sini.

Tambahnya, kesahihan laporan amat penting bagi pihak polis.

Pihak polis sentiasa memberi kerjasama kepada pihak media untuk mendapatkan maklumat bagi menyaluran berita kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Hussein berkata enam warga China dan seorang warga tempatan yang aktif dalam kes pecah rumah di Sabak Bernam berjaya ditahan polis.

Hussein berkata suspek warga asing tersebut gagal mengemukakan dokumen perjalanan semasa pasukan serbuan melakukan tangkapan.

"Dua hasil risikan ini, pihak polis percaya kita berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah di Sabak Bernam, dua kes di Negeri Sembilan, satu kes di Pahang, dan satu kes di Perak. Ini adalah minimum, saya percaya lebih banyak kes pecah rumah telah mereka lakukan," katanya.

Modus operandi suspek adalah menyasarkan rumah jenis dua tingkat yang tidak berpenghuni di daerah Sabak Bernam.

Kesemua suspek yang berusia antara 30 hingga 40 tahun itu telah direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Dalam pada itu, Hussein berkata polis berjaya menahan 10 suspek kes samun berkumpulan yang tular kerana menyamun bersenjata di Pandamaran, Klang.

Menurut Hussein, kejadian samun pada 3 Oktober itu melibatkan sembilan lelaki dan seorang wanita berusia antara 23 hingga 46 tahun.

Kesemua suspek disyaki merupakan ahli kumpulan kongsi gelap yang dikenali sebagai Geng Casa.

"Hasil semakan rekod lampau mendapati dua daripada mereka mempunyai 13 dan 14 rekod jenayah. Kesemua suspek masih dalam tahanan reman untuk siasatan lanjut. Pihak polis juga berjaya merampas senjata samun, iaitu parang, serta beberapa lagi barang yang mereka samun ketika itu," katanya.

Kesemua suspek berjaya ditangkap dalam beberapa siri serbuan di empat lokasi berbeza di Negeri Sembilan dan Lembah Klang sejak hari kejadian.

"Siasatan mendapati suspek telah mengikat tiga mangsa daripada satu keluarga, mencederakan salah seorang penghuninya yang berusia 33 tahun, sebelum melarikan wang tunai, barang kemas, dan patung dewa yang dianggarkan bernilai kira-kira RM600,000.

"Polis sedang memburu dua hingga empat lagi suspek kumpulan samun yang bersenjata dan merbahaya ini, disyaki masih bebas di luar," katanya.

Jelas beliau,  kesemua 10 suspek kini direman selama seminggu bermula dari tarikh tangkapan.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dengan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika disabitkan kesalahan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM