LUMUT, 19 April- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan 20 nelayan warga asing dalam satu operasi di kedudukan 2.1 batu nautika Barat Laut Pulau Mentagor, Pangkor, di sini, semalam.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, ia susulan penahanan sebuah bot nelayan tempatan kelas C kira-kira pukul 7 malam yang disyaki melanggar undang-undang.
Jelasnya, bot terbabit dikesan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia ketika melakukan rondaan menerusi Op Sayong, Op Pintas, Op Tiris, Op Khas Pagar Laut di sekitar perairan negeri Perak.
"Pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong dibantu seorang kru warga Thailand yang mempunyai dokumen pengenalan diri sah, manakala 13 kru warga Myanmar dan lima kru warga Kemboja memiliki dokumen meragukan yang telah tamat tempoh.
"Kesemua mereka berumur lingkungan 27 hingga 60 tahun telah ditahan, manakala bot dan peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Shukri berkata kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan tinggal melebihi masa yang ditetapkan.