PASIR PUTEH, 1 Februari- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan kira-kira 100 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui satu operasi bersepadu yang dijalankan di Tok Bali, disini.
Menurut Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi, operasi disertai 78 pegawai dan anggota Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen negeri Kelantan (JIM) dan Anti Dadah Kebangsaan Negeri Kelantan (AADK).
Menurutnya, dalam serbuan yang dijalankan kira-kira jam 5 pagi itu pihaknya berjaya menahan seramai 100 orang PATI dari Vietnam, Thailand, Myanmar, Kemboja serta Laos yang didapati tidak mempunyai dokumen atau permit sah.
Tambahnya, 11 orang lagi nelayan terdiri dari warganegara Thailand dan Kemboja turut ditahan dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki menyalahgunakan dadah.
"Anggota penguatkuasa itu tertumpu kepada penguatkuasaan undang-undang berkaitan Akta APMM2004, Akta Imigresen 1959/63, Akta Perikanan 1985 dan Akta Dadah Berbahaya 1952 di kawasan jeti-jeti utama bot-bot nelayan jenis pukat tunda dan pukat jerut berlabuh.
“Antara bot nelayan yang diperiksa melibatkan bot zon C dan C2 yang menggaji pekerja warganegara asing khususnya dari Vietnam, Thailand dan Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya semua suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Negeri Kelantan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.