fb fb fb fb fb

Makmal proses dadah diserbu, lebih 18 kg dadah dirampas

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris (tengah) menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas pada sidang media di IPK Perak hari ini/ BERNAMA

IPOH, 9 Ogos- Polis Perak menyerbu sebuah rumah di Buntong, di sini yang dijadikan sebagai tempat pemprosesan dadah serta merampas 18.4 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis dengan nilai anggaran RM337,683.60 pada 7 Ogos lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, aktiviti berkenaan terbongkar susulan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun dalam serbuan sekitar 8.25 malam oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak itu.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek diupah untuk memproses dadah itu oleh satu sindiket yang dipercayai mula bergiat aktif sejak Mei lalu.

“Antara dadah yang dirampas adalah daripada jenis methamphetamine (1.436 kg), heroin base (0.745 kg), heroin (0.765 kg), pil eramin 5 (0.56 kg), pil ecstasy (0.381 kg), kafein (12.740 kg) dan serbuk jus (1.78 kg).

"Dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di sekitar Perak. Dianggarkan jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan untuk 42,337 orang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Azizi berkata suspek direman enam hari bermula semalam hingga 13 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952

Beliau berkata tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dan JSJ Narkotik Perak telah menyita sebuah kereta bernilai RM125,000.

Ujarnya kejayaan tangkapan ini hasil kerjasama berterusan antara masyarakat dan agensi penguatkuasaan lain.

“Kami menyeru orang awam supaya menyalurkan apa jua informasi berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah agar tindakan penguatkuasaan dapat dipertingkat bagi memastikan negeri ini bebas daripada ancaman dadah,” katanya.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI