fb fb fb fb fb

Lima ahli keluarga suspek Balai Polis Ulu Tiram dihadapkan ke mahkamah

Lima ahli keluarga suspek kes serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru dihadapkan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru

JOHOR BAHRU, 19 Jun- Lima ahli keluarga suspek kes serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru dihadapkan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas sembilan pertuduhan berasingan termasuk menggalak dan menanam fahaman ideologi Kumpulan Pengganas Islamik State (IS).

Tertuduh, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62 tahun, isterinya, Rosna Jantan, 59 dan tiga anak mereka Radin Romyullah (34), Farhah Sobrina (23) dan Mariah (19) memahami pertuduhan selepas dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh. 

Mengikut kertas pertuduhan, Radin Imran berhadapan empat pertuduhan iaitu cuba menanam fahaman ideologi keganasan yang berkait kumpulan pengganas IS kepada ahli keluarganya termasuk suspek kejadian, Radin Luqman, 21 tahun.

Tertuduh juga didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dengan cara berbaiah kepada pemimpin kumpulan iaitu Abu Bakar Al- Baghdadi selain menyimpan empat pucuk senapang angin buatan sendiri serta memiliki buku berkaitan IS.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru pada penghujung tahun 2014 dan antara 17 Mei serta 19 Mei.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130G (a), Seksyen 130 J(1)(a), Seksyen 130 J(1)(b) dan Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Sementar itu Radin Romyullah pula berhadapan dua pertuduhan, memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dengan cara berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas dan memiliki cakera keras mengandungi bahan berkaitan kumpulan itu serta perlakuan perbuatan pengganas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130J(1)(a), Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Manakala, ibu dan dua lagi adik perempuannya berhadapan dengan satu pertuduhan setiap seorang iaitu dengan sengaja meninggalkan daripada memberi apa-apa maklumat berkenaan dengan kesalahan mengikut Seksyen 130J(1)(a) dan Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan (Akta 574).

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Mustaffa P. Kunyalam dan Fazeedah Faik.

Mahkamah menetapkan 31 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam serta tiada jaminan ditawarkan kepada kesemua tertuduh. 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI