fb fb fb fb fb

Wanita warga emas rugi lebih RM500,000 diperdaya sindiket penipuan

Foto hiasan

JOHOR BAHRU, 19 Jun- Seorang wanita warga emas kerugian RM584,000 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan melalui panggilan telefon, awal bulan lepas.

Ketua Polis Johor Komisioner (CP) M Kumar dalam satu kenyataan hari ini berkata, wanita berusia 70 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang mendakwa kononnya mempunyai rekod jenayah penipuan.

Wanita itu kemudiannya dihubungi seorang individu mendakwa 'pegawai polis' dari utara tanah air memaklumkan kononnya terdapat satu akaun bank dibuka atas namanya di negeri itu, namun wanita itu menafikannya.

"Bagaimanapun, suspek telah meyakinkan mangsa (wanita) untuk memberikan butiran semua akaun yang dimiliki bagi tujuan siasatan, kemudian mangsa mengikut arahan suspek dengan meletakkan kad mesin juruwang automatik (ATM) satu akaun bank miliknya di lokasi yang diarahkan serta nombor pin.

"Mangsa seterusnya diarah memindahkan wang daripada beberapa akaun simpanannya yang lain ke akaun bank (kad ATM) yang diserahkan itu berjumlah hampir RM600,000 untuk 'siasatan'," katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai bahawa NSRC adalah pusat yang hanya menerima panggilan daripada orang ramai dan berbentuk komunikasi sehala sahaja menerusi talian 997.

Pada masa sama maklumat terkini berkaitan modus operandi jenayah komersial juga dimuat naik di Facebook, Instagram dan TikTok Jabatan Siasatan Jenayah Komersial bagi mengoptimumkan usaha pembanterasan serta pencegahan jenayah penipuan dalam talian.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI