fb fb fb fb fb

Lelaki Thai ditahan di Terminal Feri Langkawi seludup masuk 14,000 biji pil Methamphetamine

Sebahagian dadah yang dirampas / FOTO KASTAM KEDAH

LANGKAWI, 12 Mac- Cawangan Penguatkuasaan Narkotik Langkawi, Kastam Kedah telah menahan seorang lelaki warganegara Thailand pada 6 Mac lalu bersama 14,000 biji pil Methamphetamine seberat 1,330 gram bernilai kira-kira RM210,000.

Penahanan dibuat selepas lelaki berkenaan dilihat dalam keadaaan mencurigakan di Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Feri Langkawi kira-kira pukul 2.30 petang.

Pengarah Kastam Kedah, Nor Izah Abd Latiff menerusi satu kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan awal di lokasi kejadian, satu bungkusan berwarna biru mengandungi 11,600 biji pil Methamphetamine seberat 1,102 gram ditemukan.

"Suspek menggunakan modus operandi melalui kawasan pemeriksaan Kastam tanpa bagasi dalam cubaan mengaburi pihak Kastam.

"Lelaki tersebut kemudian dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan Langkawi untuk siasatan lanjut. Hasil pemeriksaan rapi terhadap beg pinggang berwarna hitam (pouch bag) lelaki terbabit, turut ditemukan 2,400 biji pil yaba seberat 228 gram.

"Berdasarkan jumlah berat dadah yang diperolehi, rampasan ini telah berjaya membanteras daripada diedarkan kepada 14,000 orang penagih dadah,"katanya.

Ujian saringan air kencing telah dilakukan dan suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

Suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula 7 sehingga 13 Mac 2024 untuk siasatan lanjut.

Kes di siasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah berbahaya, jika sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan tidak kurang 15 sebatan.

Jelas Nor Izzah, JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

"Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

"Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan sentiasa memantau ketat pintu sempadan negara terhadap mana-mana pihak yang cuba menyeludup keluar atau masuk barang larangan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat negara ini,"katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE