KUANTAN, 21 Januari - Seorang lelaki warganegara Myanmar ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada beberapa anggota badan di dalam kebun durian di Jalan Air Terjun Chamang, Bentong semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintenden Zaiham Mohd Kahar dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan penemuan mayat lelaki berusia 29 tahun dan bekerja di kebun durian itu, pada 5.00 pagi.
Susulan itu, polis menahan dua lelaki yang merupakan rakan senegara mangsa iaitu seorang berusia 26 tahun di kawasan kebun durian terbabit manakala seorang lagi berusia 31 tahun ditangkap semasa cuba melarikan diri di lokasi berhampiran, bagi membantu siasatan.
"Mereka juga bekerja di kebun durian dan pemeriksaan mendapati seorang daripada lelaki ditahan mempunyai beberapa kesan kecederaan dipercayai akibat pergelutan.
"Polis turut merampas sebilah parang dan pisau yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu," katanya.
Zaiham berkata kes sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong ASP Faizal Abdullah menerusi talian 012-4834439 bagi membantu siasatan.